fb fb fb fb fb

60% SSR beras menjelang 2030 disasarkan di Sarawak

KUALA LUMPUR, 26 Jun - Kerajaan Negeri Sarawak mensasarkan pencapaian 60% Kadar Sara Diri (SSR) beras menjelang tahun 2030, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin, di sini.

Perancangan kerajaan untuk pengeluaran hasil beras termasuklah usaha membangunkan kawasan baharu bagi memperluaskan industri penanaman padi

Selain melaksanakan Program SMART Sawah Berskala Besar bertujuan meningkatkan hasil pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan terhadap import beras dari luar negara.

Tambahnya, Sarawak juga memiliki pelbagai jenis padi tempatan yang berkualiti tinggi seperti padi Bario, Bajong dan Biris yang berpotensi untuk dibangunkan.

"Pada masa ini Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sarawak sedang berusaha untuk membawa masuk benih MR297 dari Semenanjung Malaysia untuk ditanam oleh pesawah tempatan.

"Sekiranya ia berjaya dilakukan, benih ini dapat mendatangkan hasil yang lebih tinggi iaitu 5 tan metrik/hektar berbanding penggunaan benih padi yang digunakan oleh para pesawah pada masa ini yang hanya sekitar 3.5 tan metrik/hektar," kata Foong, di Dewan Negara.

(FOTO HIASAN)

Tahun lalu, jumlah kawasan penanaman padi di Sarawak dianggarkan berjumlah 78,000 hektar meliputi 42,000 hektar kawasan padi sawah dan selebihnya kawasan padi bukit.

Manakala anggaran pengeluaran beras pula berjumlah 85,000 tan metrik dan hanya 34% daripada keperluan beras Sarawak.

Media Baharu