AYER MOLEK, 31 Julai – Enam kesalahan dikesan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di sebuah penginapan pekerja tapak pembinaan di Melaka.
Exco Sumber Manusia Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, premis di kawasan Melaka Tengah itu menggajikan 57 pekerja tempatan dan 190 pekerja asing.
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah kegagalan menyediakan kemudahan penginapan minimum, tanda dan ruang dapur yang kotor, kedai makan serta kedai runcit yang beroperasi tanpa lesen, selain pelbagai isu kebersihan di kawasan penginapan pekerja.
“Hasil serbuan mendapati majikan menyediakan empat blok rumah kontena dua tingkat jenis kabin serta penginapan yang sangat daif, hanya dibuat daripada papan lapis dan kayu, tanpa sebarang perakuan penginapan di bawah Seksyen 24 Akta 446. Majikan pernah memohon perakuan itu tetapi ditolak kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi berkenaan di Ayer Molek.
Sementara itu, sejak Akta 446 dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020, majikan di negeri ini telah menjelaskan kompaun berjumlah RM513,100.