fb fb fb fb fb

6,748 kes HFMD di Selangor

SHAH ALAM, 13 Mei - Sebanyak 6,748 kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negeri Selangor, dengan bilangan kes mingguan melebihi paras amaran setakat 7 Mei lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata daripada bilangan tersebut, 400 daripadanya dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan lanjut, manalaka selebihnya menerima rawatan pesakit luar.

"Sebanyak 118 kluster HFMD dilaporkan dengan 95 peratus daripadanya melibatkan kluster di taska atau tadika serta pusat jagaan harian. Tiada kematian dilaporkan", katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, hari ini.

(Selangor mencatatkan 6,748 kes HFMD,
kes mingguan melebihi paras amaran setakat 7 Mei lepas)

Beliau berkata trend peningkatan penyakit tersebut di Selangor terutamanya dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun sejak awal tahun ini.

"Sebanyak 33 peratus kes jangkitan berpunca daripada coxsackie virus A16 dan 22 peratus daripada enterovirus 71,manakala selebihnya jenis virus lain.

Jelasnya, pada minggu epid ke-18 (ME 18) tahun ini, sebanyak 525 kes telah dilaporkan, namun menurun sebanyak 40 peratus berbanding ME sebelumnya.

“Penurunan ini dipercayai berlaku berikutan cuti perayaan Aidilfitri dan kebanyakan pusat jagaan serta institusi pendidikan ditutup sepanjang tempoh berkenaan.

"Pada masa yang sama, tiada kluster HFMD dilapor semasa tempoh tersebut,” katanya.

Media Baharu