fb fb fb fb fb

6,730 kes jangkitan pernafasan akut dikesan di PPS - Dzulkefly

Foto BERNAMA

TUMPAT, 7 Disember- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menggerakkan Pasukan Penilaian Pantas (RAT) dan Pasukan Tindak Pantas (RRT) bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada individu yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri-negeri terjejas banjir.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa sebanyak 119 pasukan RAT dan 109 pasukan RRT telah membantu 21,032 individu di 89 PPS.

Menurut beliau, sehingga semalam, KKM telah mengesan 6,730 kes jangkitan saluran pernafasan akut, 3,021 kes jangkitan kulit, 298 gastroenteritis akut , 190 kes konjunktivitis, 20 kes cacar air, dan 13 kes penyakit tangan, kaki, dan mulut (HFMD) di PPS yang terlibat.

Namun begitu, tiada wabak penyakit berjangkit dikesan di PPS, dan semua kes yang direkodkan berada dalam keadaan stabil.

Pesakit yang memerlukan rawatan lanjut dihantar ke fasiliti kesihatan terdekat.

“Ada juga pesakit yang perlu mendapatkan rawatan hemodialisis di fasiliti terdekat. Kes strok turut dirujuk ke hospital atau fasiliti kesihatan yang terdekat,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke PPS Maktab Rendah Sains MARA Tumpat, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly turut memaklumkan bahawa 26 pasukan perubatan dengan kekuatan 110 kakitangan kesihatan dari lapan negeri telah dimobilisasi ke negeri Kelantan.

 

 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM