fb fb fb fb fb

57,407 buah rumah diperlukan di Perak menjelang 2030 - Saarani

Foto FB Menteri

IPOH, 20 Mei- Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) menganggarkan sebanyak 57,407 unit rumah diperlukan di Perak menjelang tahun 2030.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata unjuran yang dibuat agensi tersebut berasaskan kepada perkembangunan pembangunan negeri ketika ini.

Jelasnya, unit rumah yang diperlukan termasuk unit yang belum terjual di negeri itu dan kebanyakan yang terlibat adalah sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

"Ia termasuk yang belum terjual kerana orang belum ada pendapatan. Untuk yang akan datang, kita yakin apabila pendapatan sudah masuk nanti, orang dah mula nampak. Perak dah mula, orang akan ada wang untuk membeli rumah."

"Jadi, 57,407 itu kena buat persiapan menjelang 2030, kemudian kena lihat untuk unjuran yang seterusnya," kata Saarani kepada pemberita ketika merasmikan bangunan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Perak, di sini.

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching.

Melalui Dasar Perumahan Negeri Perak, ujarnya skim perumahan yang melebihi 20 ekar diwajibkan untuk menyediakan 10 peratus rumah kos rendah, 10 peratus rumah kos sederhana dan 20 peratus rumah mampu milik yang dijual pada harga serendah RM90,000 seunit.

Tambahnya, unjuran terbabit perlu dilakukan dengan betul agar semua lapisan masyarakat berpeluang untuk memiliki rumah sendiri.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM