fb fb fb fb fb

55 keluarga di Kg Tersang terpaksa pindah

Penduduk Kampung Tersang dipindahkan ke PPS

RANTAU PANJANG, 8 Disember- Kira-kira 55 keluarga tinggal di Kampung Tersang, memilih untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) SK To' Deh berikutan kawasan kediaman mereka dinaiki air sedalam empat meter.

Kejadian itu dipercayai berlaku akibat limpahan sungai Kampung Lanchang dan Sungai Golok menenggelamkan kampung tersebut selepas tiada laluan air keluar.

Hampir keseluruhan penduduk di Kampung Tersang memilih untuk berpindah berikutan bimbang keselamatan keluarga masing-masing.

Menurut seorang penduduk di kampung itu Sabri Mohamad, "hampir keseluruhan kediaman di kampung tersebut ditenggelami air hampir empat meter.

"Boleh dikatakan semua berpindah. Semua kediaman di Kampung Tersang ditenggelami air, yang ada cuma lelaki yang balik tengok keadaan rumah pada waktu malam. Sebab risau ada kejadian kecurian," katanya.

Bagi semua penduduk di kawasan itu, mereka tidak asing dengan bencana tersebut kerana setiap tahun berdepan perkara sama.

Namun dakwa penduduk, sejak tahun lepas situasi banjir di kawasan itu semakin teruk.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kelantan Mahadi Awang mengambil inisiatif untuk mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk terjejas banjir di kampung tersebut.

Ia berikutan situasi banjir di kampung tersebut agak mencabar dan memerlukan masa dua atau tiga minggu untuk surut sepenuhnya.

"Kita tahu keadaan air di Kampung Tersang ini statik, tiada menunjukkan tanda-tanda untuk surut. Menurut penduduk, ia berkemungkinan mengambil masa sehinga dua minggu atau lebih.

"Jadi kita mengambil inisiatif untuk membantu penduduk di kampung ini setakat yang mampu," katanya ketika ditemui pemberita.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI