fb fb fb fb fb

543 calon tidak hadir hari pertama SPM di Negeri Sembilan akibat COVID-19

NILAI, 2 Mac - Seramai 543 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Negeri Sembilan yang menjalani kuarantin COVID -19 akan menduduki peperiksaan itu pada fasa kedua April depan

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Md Fiah Md Jamin memberitahu, kesemua calon yang terlibat berada dalam keadaan stabil dan menjalani kuarantin di asrama atau rumah keluarga masing-masing.

(Datuk Md. Fiah (kiri) melihat pelajar SMK Kompleks KLIA yang memasuki dewan peperiksaan bagi menduduk peperiksaan SPM yang bermula hari ini)

"Mereka insya-Allah akan menduduki peperiksaan pada fasa dua iaitu yang dijangkakan pada bulan April depan.

“Sekiranya lima hari lagi mereka telah sembuh dan negatif COVID-19, mereka boleh masuk menduduki peperiksaan manakala lima hari yang terlepas ini, mereka akan menjalaninya pada fasa dua nanti.

“Selain itu, terdapat juga seramai tiga orang pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM 2021 sebagai calon hospital,” kata Md Fiah selepas mengadakan tinjauan hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kompleks KLIA, Nilai.

Secara keseluruhan seramai 16,758 calon menduduki SPM di Negeri Sembilan pada tahun ini melibatkan 150 pusat peperiksaan.

2,620 pengawas peperiksaan dan 150 petugas simpanan ditugaskan bagi melancarkan peperiksaan itu yang dijadualkan berakhir pada 29 Mac ini.

 

Media Baharu