54 individu terima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais. Foto/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Februari – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 54 individu sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 di Istana Negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Ibrahim mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 54 individu sempena Hari Wilayah Persekutuan 2026.
  • Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais dianugerahkan SMW membawa gelaran Datuk Seri; beberapa pemimpin kanan turut menerima SMW.
  • Pelbagai darjah dan pingat diberikan termasuk PMW, JMW, KMW, AMW dan PPW kepada penerima dari sektor awam, keselamatan, pendidikan dan sukan.

Mendahului senarai penerima, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut dikurniakan SMW ialah Hakim Besar Malaya Datuk Hashim Hamzah, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud.

Istiadat itu turut menyaksikan 15 individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk, didahului Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang.

Penerima PMW yang lain dalam kalangan pelbagai sektor hari ini melibatkan kepimpinan perkhidmatan awam, keselamatan, pendidikan, ketenteraan, akademik dan sukan.

Antaranya Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha; Profesor Universiti Utara Malaysia, Datuk Profesor Ts. Dr. Hajah Norazah Mohd Suki; Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM, Pesuruhjaya Polis Datuk
Gilberd Philip Layang serta bekas Atlet Badminton Negara, Datuk Soo Beng Kiang.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah merupakan antara 15 individu dianugerahkan Darjah Johan Mahkota Wilayah (JMW), manakala enam individu menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW).

Lima penerima juga dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan sembilan individu menerima pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Istiadat itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan beberapa menteri kabinet.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan