JOHOR BAHRU, 9 Disember - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor telah menghantar pulang seramai 51 tahanan warga asing ke negara asal masing-masing sepanjang minggu lalu.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook, JIM Johor memaklumkan bahawa warga asing tersebut dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan, termasuk di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Operasi ini melibatkan 21 warga Pakistan, 10 warga Bangladesh, enam warga India, lima warga Myanmar, serta empat tahanan masing-masing dari Indonesia dan Kemboja," menurut kenyataan itu.
Kesemua tahanan telah diberikan dokumen perjalanan sementara oleh kedutaan negara masing-masing untuk pulang ke negara asal.
Mereka turut disenarai hitam dalam pangkalan sistem Jabatan Imigresen dan tidak dibenarkan memasuki semula Malaysia mengikut tempoh yang ditetapkan.
Kos tiket penerbangan untuk penghantaran pulang tersebut ditanggung sepenuhnya melalui wang simpanan mereka, sumbangan ahli keluarga, atau, dalam kes tertentu, oleh pihak kedutaan masing-masing.