
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Sebanyak 50 syarikat tampil menyalurkan lebih RM2 juta sumbangan Hari Raya bagi menyantuni anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas ketika sambutan Aidilfitri tahun ini.
- 61 sumbangan diterima, melibatkan RM1.832 juta kewangan dan kira-kira RM254,000 barangan, jumlah keseluruhan RM2.086 juta.
- Sumbangan disediakan sebagai beg bekalan Hari Raya: kuih raya, juadah tradisional serta kelengkapan harian untuk anggota bertugas di operasi dan sempadan.
- Inisiatif menghargai pengorbanan anggota, menerapkan pendekatan Whole of Government dan Whole of Society untuk memastikan kebajikan serta menyuntik semangat.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, keseluruhan 61 sumbangan diterima dalam bentuk barangan atau kewangan.
“Jumlah itu merangkumi RM1.832 juta sumbangan kewangan serta kira-kira RM254 ribu dalam bentuk barangan, menjadikan nilai keseluruhan sumbangan mencecah RM2.086 juta.
“Sumbangan tersebut antaranya digunakan untuk menyediakan beg bekalan Hari Raya mengandungi kuih raya, juadah tradisional serta kelengkapan harian kepada anggota tentera yang bertugas di lokasi operasi dan perbatasan,” katanya ketika membacakan teks ucapan Menteri Pertahanan pada Majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri.
Inisiatif itu merupakan tanda penghargaan kepada anggota ATM yang terpaksa berjauhan daripada keluarga demi menjaga keselamatan negara.
Beliau berkata, walaupun terdapat sedikit penurunan sumbangan berbanding tahun lalu, kerajaan tetap menghargai komitmen semua pihak yang terus menyokong kebajikan warga tentera.
Pendekatan Whole of Government dan Whole of Society turut diterapkan dalam usaha memastikan kebajikan anggota keselamatan terus diberi perhatian oleh semua lapisan masyarakat.
Sumbangan itu diharap dapat menyuntik semangat anggota Angkatan Tentera Malaysia yang bertugas sepanjang musim perayaan, sekali gus mengingatkan bahawa pengorbanan mereka sentiasa dihargai rakyat dan negara.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.