fb fb fb fb fb

50 peratus daripada 31,600 jemaah haji Malaysia laksanakan Nafar Awwal

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman

MEKAH, 8 Jun - Sebanyak 50 peratus daripada 31,600 jemaah haji Malaysia akan melaksanakan Nafar Awwal iaitu melontar jamrah pada dua daripada tiga hari tasyrik.

Ini bagi mengurangkan kesesakan di Mina dan melancarkan pergerakan pulang jemaah haji ke Mekah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata separuh lagi jemaah haji Malaysia akan melaksanakan Nafar Thani iaitu melontar pada ketiga-tiga hari tasyrik.

Beliau berkata, kesemua jemaah akan bergerak ke Arafah pada 8 Zulhijjah bersama-sama hampir tiga juta umat Islam dari seluruh dunia untuk melaksanakan ibadah wukuf yang merupakan kemuncak haji. 

"Kesemua 20 buah bas akan disediakan untuk setiap maktab untuk membawa jemaah haji di maktab masing-masing. Pergerakan dari Mekah ke Arafah ini yang jaraknya mengambil masa satu hingga dua jam bergantung kepada kesesakan jalan raya pada ketika itu dan sudah tentunya dengan hari Jumaat lagi maka kesesakan itu akan bertambah," katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Dalam pada itu, Tabung Haji (TH) juga akan melaksanakan pergerakan secara Taradudiah atau shuttle bagi pergerakan dari Arafah ke Muzdalifah sejauh lapan kilometer dan dari Muzdalifah ke Mina sejauh 6.9 kilometer.

Lebih 600 petugas TH akan terlibat dalam pergerakan tersebut dengan sebahagian daripadanya akan bergerak lebih awal pada 7 Zulhijjah untuk melakukan persiapan. 

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN