
ALOR SETAR, 21 Februari – Prihatin dengan golongan kurang bernasib baik, seramai 50 anak yatim di sini, menerima sumbangan pada majlis makan malam bersempena sambutan Tahun Baharu Cina, malam tadi.
- Sumbangan beg sekolah dan ang pau disampaikan kepada 50 anak yatim sempena majlis Tahun Baharu Cina di Alor Setar.
- Program dianjurkan oleh Lions Club of Alor Star (Host) sebagai usaha tahunan membantu golongan kurang bernasib baik.
- Inisiatif bertujuan memupuk kasih sayang, kebersamaan dan mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum.
Sumbangan berupa beg sekolah dan ang pau itu disampaikan oleh Mantan Presiden Lions Club of Alor Star (Host), Datuk Dr. Cheng Joo An bersama isterinya, Datin Lee Phaik Sean, dalam majlis yang diadakan di sebuah restoran di sini.
Datuk Dr. Cheng yang juga Kabinet Daerah Perkhidmatan Kesihatan, Kelab Lions Antarabangsa Daerah 308B2 berkata, kesemua penerima merupakan anak-anak daripada Superhope Centre.
Beliau berkata, sumbangan tersebut bertujuan memastikan golongan kurang bernasib baik turut berpeluang menyambut perayaan dalam suasana gembira dan penuh makna.
“Perayaan ini membawa makna kasih sayang, kebersamaan dan semangat. Tiada seorang anak pun harus merasa dilupakan atau tersisih. Melalui sumbangan beg sekolah dan lain-lain, kami berharap mereka rasa dihargai dan disayangi,” katanya.
Beliau berkata, program berkenaan merupakan acara tahunan yang dianjurkan pihaknya sebagai usaha berterusan membantu golongan memerlukan.
Pada masa sama, inisiatif tersebut dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat berbilang kaum.