(Foto hiasan)
KUALA LUMPUR, 26 September- Lima inisiatif strategik sedang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi mencapai matlamat pembangunan bandar mampan.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ini termasuk pelaksanaan awal bandar pintar, penggubalan Akta Pembaharuan Bandar serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Katanya, kementerian ketika ini sedang berusaha menyediakan garis panduan bagi mempercepat penarafan bandar pintar.
(Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir)
"Kami sedang menggariskan 85 indikator dan kami mempunyai tempoh dua tahun. Saya yakin kita mampu mengetengahkan lima bandar yang akan menjadi perintis kepada bandar-bandar pintar di negara ini.
Kementerian juga sedang melengkapkan butiran yang perlu bagi penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar yang dijangka dibentangkan tahun depan.
Penggubalan akta itu akan memudahkan pembangunan semula hartanah lama termasuk 139 tapak yang telah dikenal pasti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Antarabangsa ke-14 Bandar Lestari Bertaraf Dunia (WCSC) 2023.