KUALA LUMPUR, 25 Mac- Sebanyak 48 premis dan bangunan dikenal pasti sebagai bangunan terbiar di Kuala Lumpur, setakat 20 Februari lalu.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, daripada jumlah itu, 25 adalah bangunan kediaman manakala 23 bangunan komersial.
Bangunan terbiar ditakrifkan berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), yang merangkumi premis yang kotor, tidak disenggara, diliputi tumbuhan liar serta boleh membahayakan keselamatan awam.
"Beberapa kawasan strategik yang lain juga seperti Jalan Bukit Bintang, Jalan Pudu dan Jalan Gombak turut tersenarai, menandakan isu ini bukan sahaja berlaku di kawasan pinggir bandar, tetapi juga di lokasi utama komersial yang berpotensi tinggi.
"Jadi, selain daripada itu, turut mengejutkan apabila beberapa kawasan kejiranan yang secara umumnya dianggap matang dan stabil serta mempunyai permintaan hartanah yang konsisten, seperti di kampung di Kepong Baru, Taman Tun Dr. Ismail, Setapak, Cheras, dan Kampung Pandan, turut mempunyai bangunan terbiar.
"Ini berkemungkinan berpunca daripada isu pemilikan berlapis, perancangan warisan yang terbantut, atau kegagalan pelaburan hartanah yang menyebabkan premis dibiarkan kosong dalam jangka masa lama," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh di Dewan Negara hari ini.
Jelasnya bagi menangani masalah ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil langkah proaktif, termasuk mengeluarkan notis di bawah Akta 171 untuk mengarahkan pemilik membersihkan atau membaik pulih bangunan mereka.
Sekiranya arahan tidak dipatuhi, tindakan lanjut boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Selain itu, DBKL turut meneliti strategi guna semula atau pembangunan semula bangunan-bangunan ini bagi mengembalikan nilainya ke dalam pasaran hartanah.
Dalam pada itu, Zaliha bersetuju dengan cadangan penubuhan pasukan khas bagi meneliti secara lebih terperinci isu bangunan terbiar di Kuala Lumpur.
Menurutnya, Akta 171 memberikan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan terhadap pemilik bangunan yang gagal melunaskan cukai taksiran.
Di bawah Seksyen 148, notis boleh dikeluarkan bagi menuntut bayaran dalam tempoh 15 hari.
Jika masih gagal, Seksyen 149 dan 150 membolehkan penyitaan harta alih dalam bangunan, yang kemudiannya boleh dijual melalui lelongan awam bagi menampung tunggakan.
"Seperti yang saya sebut tadi, kita ada akta-akta yang membenarkan kita untuk melaksanakannya dan saya bersetuju sebab sebenarnya ia menjadi trend di peringkat global.
"Untuk tujuan pengubahsuaian (repurpose) bangunan ini, seperti yang saya sebut tadi, dan juga pembangunan semula (redevelopment) supaya kita dapat kembali nilai yang tinggi daripada sudut ekonomi kepada PBT mahupun di peringkat negara," katanya.