fb fb fb fb fb

47 fasiliti kesihatan Johor dinaik taraf, peruntukan lebih RM30 juta

Foto FB Exco

JOHOR BAHRU, 18 Januari- Sebanyak 47 fasiliti kesihatan di Johor akan dinaik taraf, tahun ini bagi menggantikan sistem perubatan yang telah uzur, dengan peruntukan melebihi RM30 juta.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata proses mendapatkan tender akan bermula pada Mac hadapan dan naik taraf dijangka selesai sebelum Oktober mengikut jadual ditetapkan. 

Sebelum ini, tiga Klinik Kesihatan di kawasan Gelang Patah, Majidee dan Tebrau, Johor Bahru  telah ditambah baik dengan peruntukan RM4 juta.

"Perkembangan terkini, semua alat bukan perubatan telah selesai. Contohnya, kerusi kita telah hantar, penyaman udara telah diganti serta perabot juga telah kita ganti.

Kedua, untuk alat perubatan ultrabunyi, kami sudah pesan dan diharap akan sampai dalam tempoh dua bulan untuk kita hantar ke klinik.

Ketiga, menteri besar berhasrat nak menyumbang ambulans kepada tiga klinik ini dan perkara itu sedang dalam perolehan," kata Tian Soon kepada pemberita, hari ini.

Sebanyak 98 klinik kesihatan di Johor telah dinaik taraf pada tahun 2023 hingga 2024.

Beliau ditemui semasa Pelancaran Projek Locker 4U 2025 dan insiatif Perkhidmatan Ubat Melalui Pos di Pusat Membeli Belah, Bukit Indah, Johor Bahru.

Perkhidmatan Locker 4U melibatkan peruntukan RM170,000, telah menyediakan 348 petak lokar, di enam lokasi untuk memudahkan pesakit mendapatkan ubat-ubatan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM