46,077 kes harta pusaka kecil masih tertunggak, setakat Disember 2025

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Januari– Sebanyak 46,077 kes harta pusaka kecil direkodkan masih belum selesai setakat 31 Disember 2025, namun 84,028 permohonan berjaya diselesaikan sepanjang tahun lalu melibatkan nilai harta kira-kira RM19.01 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • 46,077 kes harta pusaka kecil masih tertunggak setakat 31 Disember 2025 walaupun 84,028 permohonan selesai tahun lalu.
  • Kelewatan disebabkan waris lambat tuntut, perselisihan, dokumen pemilikan tidak lengkap dan sukar mendapatkan dokumen agensi.
  • Kementerian sasar kurangkan tunggakan dalam dua tahun hingga 2028 supaya fokus pada penyelesaian kes semasa.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata statistik itu menunjukkan masih terdapat kes tertunggak, namun usaha penyelesaian terus dilaksanakan secara berterusan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG).

Beliau berkata, antara punca utama kelewatan penyelesaian kes adalah tindakan waris yang lewat membuat tuntutan, perbalahan serta ketiadaan kesepakatan dalam kalangan waris, selain isu dokumen pemilikan harta yang tidak lengkap dan tidak teratur.

“Sebahagian besar kes melibatkan kelewatan tindakan waris untuk membuat tuntutan harta pusaka atas faktor kesibukan masa, kematian yang berlaku secara berlapis serta kewujudan pelbagai jenis harta pusaka, sekali gus menjadikan proses penyelesaian lebih rumit,” kata Syed Ibrahim ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Syed Ibrahim, kelewatan turut berpunca daripada kurangnya pengetahuan waris mengenai proses permohonan, kesukaran mendapatkan dokumen daripada pelbagai agensi, selain isu mengenal pasti waris yang layak, khususnya melibatkan perkahwinan dan status keluarga si mati.

Katanya, sekiranya tiada sebarang pertikaian, JKPTG menetapkan tempoh penyelesaian kes harta pusaka kecil dalam masa empat bulan dari tarikh permohonan diterima.

Beliau menegaskan kementerian menyasarkan pengurangan tunggakan kes harta pusaka kecil dalam tempoh dua tahun akan datang, iaitu menjelang 2028, bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada penyelesaian kes tahun semasa sahaja.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan