450 keluarga kurang berkemampuan terima bakul makanan Yayasan PETRONAS

FOTO RTM

KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Sejumlah 450 keluarga kurang berkemampuan di negeri ini menerima sumbangan bakul makanan daripada Yayasan PETRONAS menerusi Program Memacu Kehidupan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

RINGKASAN BERITA AI
  • 450 keluarga kurang berkemampuan di Terengganu menerima bakul makanan Yayasan PETRONAS sempena Aidilfitri.
  • Bakul mengandungi barangan asas dan barangan bertemakan Aidilfitri seperti biskut raya, beras pulut dan pes rendang.
  • Inisiatif sama dilaksanakan di Kelantan dan Pahang, manfaat kepada 1,250 keluarga keseluruhannya.

Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, sumbangan berkenaan diagihkan kepada penerima di beberapa daerah terpilih iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.

“Setiap keluarga menerima pek perayaan yang mengandungi barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung.

“Selain itu, penerima turut menerima barangan bertemakan Aidilfitri termasuk biskut raya, beras pulut, santan serta pes rendang dan kuah kacang bagi membantu persiapan menyambut perayaan.

“Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan Yayasan PETRONAS dalam membantu meringankan beban golongan memerlukan khususnya menjelang musim perayaan,” katanya.

Jelas Mohammad Ahmad Shazly lagi, inisiatif sama turut dilaksanakan di negeri Pantai Timur lain iaitu Kelantan dan Pahang, yang memberi manfaat kepada seramai 1,250 keluarga keseluruhannya.