KOTA KINABALU, 8 Julai- Seramai 45 individu termasuk tujuh kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terperangkap di seberang sungai dalam kejadian kepala air ketika sedang menjalankan aktiviti memancing di sebuah kolam berhampiran Jalan Tandek Kampung Longob, Kota Marudu, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.11 petang tadi.
"Terdapat 45 individu terdiri 23 lelaki dan 15 wanita dewasa bersama tujuh kanak-kanak terperangkap di seberang sungai akibat berlaku kepala air yang menyebabkan jambatan di sungai berkenaan rosak dibawa arus deras.
"Anggota bomba menyelamatkan semua mangsa menggunakan tali dan tangga serta tiada kecederaan dilaporkan," katanya dalam kenyataan itu.
Operasi menyelamat tamat pada pukul 6.47 petang.