JOHOR BAHRU, 21 Mac- 44 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam serbuan di 19 premis melibatkan daerah Johor Bahru, Muar, Mersing dan Segamat pada Selasa dan Rabu, lalu.
Menurut Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir, semua tangkapan itu hasil pelaksanaan Ops Mahir, Ops Gegar, Ops Sapu, Ops Minyak dan Ops Selera.
Ops Mahir yang dilancarkan semalam, menyaksikan dua premis kilang di Johor Bahru diserbu dan menahan 10 lelaki serta seorang wanita Myanmar berusia antara 24 hingga 39 tahun.
Masing-masing dipercayai bekerja tanpa permit dan tinggal lebih masa.
Selain itu, lima premis di daerah Muar, dua di Mersing dan 10 premis di Segamat pada Selasa dan Rabu menyaksikan 33 individu dicekup.
Tangkapan melibatkan 14 orang warga Myanmar, 12 orang Thailand, empat warga Bangladesh dan tiga lagi, Vietnam.
Semua tindakan diambil mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) dan seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sembilan notis hadir ke pejabat turut dikeluarkan.