JELI, 26 November - Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan meningkat kepada 436 orang daripada 143 keluarga setakat pukul 11 malam tadi, berbanding hanya 36 orang daripada lapan keluarga pada sebelah petang.
Kesemua mereka kini ditempatkan di 17 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah iaitu Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli, dan Machang.
Empat daerah baharu, iaitu Tanah Merah, Kuala Krai, Machang, dan Jeli, mula dilanda banjir pada waktu malam, menjadikan jumlah kawasan terjejas semakin meningkat.
Menurut Laman Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kuala Krai mencatat jumlah penduduk terjejas tertinggi iaitu 187 orang di (5) PPS, diikuti Jeli dengan 136 orang di (5) PPS, Pasir Mas 60 orang di (3) PPS, Tanah Merah 28 orang di (3) PPS, dan Machang 15 orang di (1)PPS.
Sementara itu, PPS Masjid Gemang di Jeli menjadi lokasi dengan jumlah mangsa tertinggi, menempatkan 86 orang daripada 27 keluarga.
Menurut portal Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), satu sungai iaitu Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli, telah melepasi paras bahaya.
Tiga sungai lain melepasi tahap amaran, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Melor di Jambatan Melor Bachok, dan Sungai Semerak di Pasir Puteh.