fb fb fb fb fb

434 pelajar SMUM, terima manfaat dana wakalah Pahang

Foto RTM

KUANTAN, 5 November- Seramai 434 pelajar Sekolah Menengah Ugama Majlis (SMUM) dan anak asnaf di Pahang menerima manfaat daripada dana wakalah, berbentuk platform pendidikan dalam talian.

Dana terbabit melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM330,000, dengan nama GNIUS, bersama alat peranti mudah alih.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata dana tersebut dibiayai oleh Syarikat Ivory Task Holdings Sdn Bhd. 

Katanya, inisiatif itu mampu memberi keperluan pendidikan yang berkualiti tinggi dan berdaya teknologi seiring dengan perkembangan zaman.

"Dalam era serba digital ini, MUIP sentiasa optimis memanfaatkan kecanggihan teknologi termasuklah penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang turut diperoleh melalui platform GNIUS ini.

Dengan adanya platform GNIUS ini, pelajar-pelajar kita akan dapat mengakses pelbagai sumber pendidikan dengan lebih mudah dan berkesan lantas dapat memperluas pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam dunia yang semakin mencabar," kata Datuk Ahmad Hairi dalam ucapannya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pengurniaan Platform GNIUS Dan Tablet kepada Pelajar-Pelajar Sekolah Menengah Ugama Majlis (SMUM) Dan Anak Asnaf Pahang di Dewan Astana, Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis tersebut dan mengurniakan tablet kepada 10 penerima sebagai gimik majlis.

Tambah Datuk Ahmad Hairi, sumbangan itu merupakan suatu langkah pemerkasaan skim wakalah pihak MUIP melalui Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ).

MUIP telah memperuntukkan sebanyak RM27.3 juta dalam sektor pendidikan bagi manfaat anak-anak asnaf di Pahang sepanjang tempoh Januari hingga September tahun ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM