
LANGKAWI, 8 Februari – Seramai 43 orang guru didedahkan kepada kepentingan ekosistem air serta kaedah pemuliharaan biodiversiti akuatik menerusi Bengkel Alam Guru – Biodiversiti Air Tahun 2026 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Ulu Melaka, pada Sabtu.
- 43 guru menghadiri Bengkel Alam Guru Biodiversiti Air 2026 di SK Ulu Melaka untuk pendedahan ekosistem air.
- Bengkel menyediakan pengetahuan dan kemahiran praktikal untuk pengajaran dan pembelajaran alam sekitar di sekolah.
- JAS Negeri Kedah tekankan peranan guru sebagai agen perubahan dalam memupuk kesedaran alam sekitar.
- JAS meneruskan Program Sekolah Lestari (SLAAS) dengan 45 sekolah berdaftar setakat ini di Kedah.
Program anjuran bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah, Sekolah Kebangsaan Air Merah Kulim, Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas Alor Setar serta Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) itu bertujuan melengkapkan guru dengan pengetahuan dan kemahiran praktikal untuk diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Pengarah JAS Negeri Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, guru memainkan peranan penting sebagai ejen perubahan dalam memupuk kesedaran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
“Pendedahan menyeluruh berkaitan hidupan akuatik, ancaman terhadap biodiversiti serta langkah pemuliharaan yang dikongsikan sepanjang bengkel diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pelaksanaan aktiviti pendidikan alam sekitar yang lebih berkesan di sekolah,” katanya.
Pada program sama, beliau memaklumkan sehingga tahun ini sebanyak 45 buah sekolah di seluruh Kedah telah mendaftar untuk menyertai Program Sekolah Lestari anjuran JAS.
Program Sekolah Lestari–Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) merupakan inisiatif berterusan JAS bagi melahirkan generasi yang lebih prihatin terhadap isu alam sekitar termasuk pemeliharaan biodiversiti, pengurusan sisa, penjimatan sumber serta perubahan iklim.