
SERENDAH, 17 Mac – Lebih 42,000 golongan memerlukan di seluruh negara menerima manfaat daripada program Ramadan MADANI YAPEIM, tahun ini.
- YAPEIM memperuntukkan hampir RM1.4 juta untuk program Ramadan MADANI bagi menyokong bantuan dan aktiviti kebajikan.
- Jelajah Ramadan MADANI bermula 25 Februari di Sabah dan diteruskan ke pelbagai lokasi, melaksanakan 31 program sejak Februari.
- Manfaat disalurkan secara inklusif kepada pelajar, keluarga B40, asnaf serta institusi, malah turut melibatkan bukan Muslim mengukuhkan ukhwah.
Hampir RM1.4 juta diperuntukkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) untuk program tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, menerusi inisiatif itu, 31 program dilaksanakan di pelbagai lokasi sejak Februari lalu.
“Alhamdulillah. Hari ini kita bawa anak-anak kita dan juga mereka yang memerlukan. Mereka diberi sumbangan wang tunai. Selain itu, kita juga memberikan sumbangan kepada surau dan masjid serta sekolah agama dan Kafa.
“Ini menunjukkan kerajaan MADANI sangat prihatin terhadap keperluan rakyat. Dan, apa yang menarik, ada juga mereka yang bukan beragama Islam turut bersama-sama menyertai program ini.
“Kita hendak tunjukkan bahawa Ramadan ini bukan sahaja menggembirakan orang Islam, tetapi juga mengukuhkan silaturrahim dan ukhwah kita sebagai rakyat Malaysia, ” tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Ramadan Madani YAPEIM 2026 di Serendah, Selangor.
Program Ramadan MADANI YAPEIM 2026 bermula pada 25 Februari di Sabah sebelum jelajah diteruskan di lokasi-lokasi lain di seluruh negara.
Antara golongan yang menerima manfaat termasuk pelajar, keluarga B40, asnaf serta institusi masyarakat yang memerlukan sokongan.
Dr Zulkifli berharap usaha berterusan ini dapat memperkukuh peranan YAPEIM dalam memastikan bantuan disalurkan secara inklusif dan menyeluruh kepada golongan sasar di seluruh negara.