
JOHOR, 23 Januari – Sebanyak 418 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) atas kesalahan membuang sampah merata-rata telah dikeluarkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sejak 1 Januari lalu hingga semalam.
- SWCorp keluarkan 418 Notis Pemberitahuan Kesalahan membuang sampah sejak 1 Januari.
- 315 notis kepada warga tempatan dan 103 notis melibatkan warga asing.
- 99 kes menerima izin pendakwaan, 15 kes akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi.
- Kuala Lumpur catat NPK tertinggi dengan 127 kes; pelaksanaan Akta 672 bermula 1 Januari.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed, berkata daripada jumlah tersebut, 315 notis dikeluarkan kepada warga tempatan, manakala 103 notis melibatkan warga asing.
Menurut beliau, kesemua notis yang dikeluarkan telah mendapat kelulusan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) secara berperingkat, dengan 99 kes menerima izin pendakwaan, manakala 15 kes dijadualkan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.
“Bagi kes-kes berikutnya, pada 9, 10 dan 11 haribulan ini, terdapat lima lagi kes melibatkan warga tempatan yang akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Jalan Duta. Selain itu, sebelum 26 haribulan, satu lagi kes akan dibicarakan di Kedah. Kami percaya kes-kes ini akan dibicarakan secara adil,” kata Khalid.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Johor Bahru, selepas menghadiri prosiding pertuduhan terhadap dua warga asing, yang merupakan kes pertama didakwa bawah Seksyen 77A(1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Mengikut statistik, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah NPK tertinggi dengan 127 kes, diikuti Kedah (99), Negeri Sembilan (61), Johor (58), Pahang (30) dan Perlis (19).
Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan bahawa pelaksanaan Akta 672 berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu, melibatkan negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Kedah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.