417 belia autistik dapat manfaat Program TVET Inklusif KBS

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari / BERNAMA

KUALA LUMPUR 4 MacSeramai 417 belia autistik dan berkeperluan khas mendapat manfaat daripada Program Latihan Kemahiran Inklusiviti Belia Autisme dan Berkeperluan Khas yang dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

RINGKASAN BERITA AI
  • 417 belia autistik dan berkeperluan khas mendapat manfaat daripada Program TVET Inklusif KBS di 12 ILKBS.
  • Program bertujuan membina kemahiran, keyakinan diri dan peluang menjana pendapatan menerusi pembelajaran bersesuaian.
  • Sebuah kafe di Menara KBS dikendalikan sepenuhnya oleh belia autistik sebagai bukti kebolehpasaran program.
  • ILKBS turut memberi laluan latihan kepada pelajar tanpa SPM, menyokong 693 pelajar 2024–2026, kebanyakannya B40.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata program berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu diperkenalkan di 12 Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).

Beliau berkata inisiatif tersebut bertujuan memastikan golongan berkenaan memperoleh kemahiran, membina keyakinan diri serta mampu menjana pendapatan menerusi pendekatan pembelajaran yang bersesuaian.

Menurutnya, antara bukti keberkesanan program itu ialah pembukaan sebuah kafe di Menara KBS, Putrajaya yang dikendalikan sepenuhnya oleh belia autistik yang menerima latihan daripada ILKBS.

“Saya sendiri telah mencuba burger yang disediakan dan ia sangat sedap. Ini membuktikan kita memberi ruang pekerjaan serta meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu.

Beliau berkata ILKBS turut berperanan sebagai jaring keselamatan sosial yang inklusif dengan menyediakan laluan latihan kepada belia tanpa kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi tempoh 2024 hingga 2026, seramai 693 pelajar tanpa SPM telah menyambung pengajian di ILKBS, kebanyakannya daripada golongan B40, bagi memastikan mereka yang berkemahiran tidak tercicir daripada sistem pendidikan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan sedang merangka cadangan pindaan terhadap Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 bagi memperkasakan perundangan jenayah syariah, khususnya melibatkan kesalahan di platform digital.

Beliau berkata cadangan itu bertujuan menangani kelompangan undang-undang yang menyukarkan tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan jenayah syariah yang diterbitkan secara elektronik di media sosial.

Turut menggulung perbahasan hari ini ialah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).