CYBERJAYA, 7 November - Sebanyak 410.59 juta khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak diminta telah disekat syarikat-syarikat telekomunikasi dalam tempoh Januari hingga September lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata penipuan dalam talian menjadi insiden keselamatan siber tertinggi dilaporkan Pusat Tindak balas Insiden Siber (Cyber999) kendalian CyberSecurity Malaysia (CSM).
Katanya, sebanyak 3,087 daripada 4,898 insiden yang diterima pada Januari hingga Oktober pula adalah berkaitan penipuan dalam talian.
"Ini adalah usaha oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya penipuan dalam talian sama ada dalam bentuk laman web, akaun sosial media bagaimana usaha kita untuk menyekat.
"Kita akui kita mampu sekat tapi kita masih tiada penyelesaian yang kita boleh automatik untuk sekat semua. Jadi orang masih boleh daftar nombor yang baharu dan guna pakai teknologi baru. Oleh itu kesedaran orang ramai tentang penipuan dalam talian sangat penting," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran ‘RUNHACK: SCAM ALERT! 2023’, di sini.
Tambah Teo, setakat Oktober lalu, sebanyak 4,013 penurunan akaun dan kandungan berunsur penipuan telah ditutup selain 1,764 laman sesawang palsu untuk penipuan pemancingan maklumat (Phishing) telah disekat.