40 kampung terjejas banjir di Sabah

Keadaan banjir di Sabah

KOTA MARUDU, 11 Mac- Jumlah penduduk terjejas banjir di tiga daerah di Sabah iaitu Kota Marudu, Paitan dan Pitas meningkat kepada 1,306 orang membabitkan 699 keluarga setakat 12.00 tengah hari ini, berbanding 1,020 orang daripada 502 keluarga pada 8.00 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuh pusat pemindahan sementara dibuka: dua di Kota Marudu, empat di Paitan dan satu di Pitas.
  • Kota Marudu catat jumlah penduduk terjejas paling ramai, ditempatkan di SMK Tandek Dua dan SMK Tandek.
  • Sebanyak 40 kampung terjejas: lapan di Kota Marudu, 26 di Paitan dan enam di Pitas.

Kesemua mereka ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu dua di Kota Marudu, Paitan (4) dan sebuah di Pitas.

Berdasarkan infografik Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, Kota Marudu mencatatkan jumlah penduduk terjejas paling ramai iaitu 998 orang daripada 609 keluarga di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek Dua dan SMK Tandek.

Di Paitan, 266 penduduk daripada 37 keluarga di PPS Pusat Komuniti Batagon Darat, Gereja PCS Purubatu, Surau NR Hikmah Kg. Kaindangan dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lubang Buaya.

Sementara itu, di Pitas — 42 penduduk daripada sembilan keluarga berada di PPS Dewan Simukab.

Sehingga kini, sebanyak 40 kampung terjejas, masing-masing 26 di Paitan diikuti Kota Marudu (8) dan Pitas (6).