PORT DICKSON, 17 Ogos - Sebanyak 4,324 laman sesawang telah disekat atas pelbagai kesalahan sejak tahun 2018 hingga 15 Ogos 2024.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata antara laman sesawang yang telah disekat ialah melibatkan penjualan barangan tiruan, pengedaran karya cetak rompak seperti filem dan perisian komputer serta penawaran jualan langsung yang berunsurkan skim piramid.
"Untuk tempoh yang sama, KPDN juga telah bekerjasama dengan penyedia platform e-dagang untuk menurunkan sebanyak 3,408 iklan.
"Antara kesalahan yang berkaitan adalah penjualan barang kawalan melebihi harga yang diwartakan, penjualan barangan tiruan, penggunaan perkataan "no palm oil" ke atas produk jualan tertentu," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah Armizan, pihaknya akan terus memperhebat tindakan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi urus niaga yang dilakukan secara dalam talian bagi melindungi pengguna daripada manipulasi peniaga yang tidak beretika.
Ini bersesuaian dengan fungis KPDN untuk menguatkuasakan perundangan berkaitan seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599), Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), Akta Perdagangan Elektronik 2006 (Akta 658) dan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012.
"KPDN akan terus memperkasa kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penyedia perkhidmatan internet (ISP) dan penyedia platform e-dagang bagi memastikan kesalahan urus niaga dalam talian ini dapat dibanteras daripada terus berleluasa.
"Ini penting untuk melindungi kepentingan pengguna dan sekali gus mewujudkan persekitaran perdagangan dalam negeri yang sihat dan progresif," katanya.