fb fb fb fb fb

4,230 al-Quran tanpa kelulusan bernilai RM250,000 dirampas

(Antara al-Quran yang dirampas)

KUALA TERENGGANU, 11 April- Sebanyak 4,320 unit pelbagai jenis teks Al-Quran dan bahan Al-Quran tanpa kelulusan telah dirampas sepanjang bulan Ramadan ini oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui OPS MULIA di seluruh negara dengan nilai rampasan sebanyak RM 250,000.

OPS MULIA yang menyasarkan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran(APTQ) 1986 adalah bertujuan untuk melindungi umat Islam dari sumber bacaan ayat-ayat suci yang tiada kawal selia sehinggakan memberikan maksud dan maklumat yang salah serta kekeliruan.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof menjelaskan sehingga kini terdapat 916 pruf akhir terbitan teks Al-Quran yang mendapat kelulusan oleh KDN untuk jualan mahupun  sebarang aktiviti program wakaf atau sedekah yang menjadi tumpuan akhir-akhir ini. 

Produk-produk yang dirampas merupakan cetakan terbitan dari beberapa negara jiran yang kian mendapat perhatian oleh masyarakat Islam di negara ini.

Hasil siasatan yang dijalankan, rata-rata peniaga yang telah diambil tindakan menyedari kesalahan yang dilakukan namun pulangan keuntungan jualan yang tinggi nenyebabkan mereka berbuat sedemikian.

Nik Yusaimi Yussof mengesa bagi mana - mana peniaga yang ingin menjalankan perniagaan sedemikian atau penganjur sesuatu program agar merujuk kepada KDN untuk mendapatkan maklumat cetakan atau produk yang diperakui. 

Malah mana-mana pihak juga berhak untuk membawa cetakan Al-Quran masing-masing untuk diperiksa dan diperakui oleh KDN melalui panel-panel bertauliah yang dilantik.

"Apabila tidak disemak, ada kesalahan-kesalahan ayat yang tidak tepat sebagaimana ayat al-Quran diturunkan. Apabila kita baca al-Quran, maksud bunyi sebutan, ayat yang salah maka al-Quran itu sendiri telah salah dibaca,"kata Nik Yusaimi Yussof.


(Antara al-Quran yang dirampas)

Media Baharu