fb fb fb fb fb

39,066 notis kesalahan dikeluarkan bagi tempoh lima hari HRA 2024

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman/ Foto JPJ Kedah

ALOR SETAR, 7 April - Sebanyak 39,066 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dalam tempoh lima hari Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 April lalu.

Sepanjang operasi tersebut, sebanyak 163,558 kenderaan telah diperiksa dan 21,742 kenderaan telah diambil tindakan.

Daripada jumlah itu, kesalahan tiada lesen memandu kompeten (CDL) mencatatkan jumlah notis tertinggi iaitu 10,405 notis atau 26.6 peratus.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata, 7,339 notis melibatkan kesalahan Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh; 6,821 notis bagi kesalahan teknikal dan 6,094 notis bagi kesalahan tiada insuran atau lesen kenderaan motor.

Selain itu, sebanyak 1,730 notis dikeluarkan atas kesalahan utama seperti had laju, lampu isyarat merah, garisan berkembar, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memotong di lorong kecemasan.

Sebanyak 5,444 notis pula bagi lain-lain kesalahan, manakala 1,495 kenderaan pelbagai jenis telah disita.

Dalam operasi yang turut disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu, lima pemandu bas ditahan kerana positif dadah.

Dua pemandu bas berusia lingkungan 60-an ditahan di terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar semalam selepas gagal ujian saringan air kencing.

“Tuan-tuan bayangkanlah jika mereka ini dibenarkan untuk memandu kenderaan sudah pasti ia akan memberikan risiko yang sangat tinggi kepada penumpang-penumpang. Selain daripada itu, kita juga menjalankan pemeriksaan terhadap keseluruhan kenderaan-kenderaan termasuk kenderaan perdagangan, motorsikal, dan juga kenderaan-kenderaan komersil ya..”katanya.

Lokman bercakap kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan terhadap bas Ekpress di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini, malam tadi.

Bermula 1 April hingga 20 April ini, JPJ melaksanakan tiga jenis operasi iaitu Ops Khas Kenderaan Komersial dan Teknikal (Perkhidmatan Awam dan Kenderaan Barangan); Ops Khas Motorsikal dan Ops Khas Sembilan Kesalahan Utama.

JPJ turut melaksanakan di 54 depoh dan 28 terminal bas utama bagi memastikan kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan awam ke arah peningkatan keselamatan, kualiti dan kebolehharapan kepada pengguna.

TETITIA YUSOFF