
KUALA LUMPUR, 12 Februari – 375 pelajar Palestin yang aktif di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia, telah menerima bantuan, melibatkan jumlah keseluruhan RM4.3 juta sehingga 31 Disember 2024.
- Pemberian bantuan merangkumi yuran pengajian dan sara hidup kepada pelajar Palestin di IPT Malaysia.
- Bantuan disalurkan mengikut garis panduan Kementerian Pendidikan Tinggi dan terma penyaluran ditetapkan.
- Inisiatif khas ini untuk meringankan beban pelajar terkesan akibat konflik, bukan tajaan penuh kerajaan.
- Kerajaan tekankan penyaluran telus, berakauntabiliti dan berlandaskan prinsip kemanusiaan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, ia merangkumi bantuan yuran pengajian dan sara hidup.
“Penyaluran ini adalah berdasarkan kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu garis panduan dan terma penyaluran bantuan sara hidup kepada pelajar Palestin di universiti awam,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, dana berkenaan merupakan inisiatif khas untuk meringankan beban pelajar yang terkesan secara langsung akibat konflik, dan bukannya tajaan penuh kerajaan kepada semua pelajar Palestin di universiti awam.
“Kerajaan akan memastikan segala bentuk bantuan yang diluluskan disalurkan secara telus, berakauntabiliti, dan berlandaskan prinsip kemanusiaan selaras dengan komitmen Malaysia terhadap keadilan sejagat,” katanya.
Sehingga 30 September 2025, seramai 558 pelajar Palestin sedang mengikuti pengajian di Universiti Awam di seluruh negara.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Labis, Pak Hok Liong berhubung jumlah keseluruhan pelajar Palestin di Malaysia dan kos keseluruhan yang ditanggung oleh kerajaan.