KUALA LUMPUR, 6 November- Seramai 37 individu dan syarikat telah menerima pengiktirafan pada Malam Anugerah MDX 2023 anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Pengiktirafan tersebut menerusi pencapaian cemerlang yang telah menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.
Acara berprestij ini mengiktiraf individu termasuk organisasi tempatan dan antarabangsa menerusi 37 kategori landskap ekonomi digital termasuk pelabur utama bagi syarikat digital tempatan dan luar negara.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, Malam Anugerah MDX 2023 ini merupakan rentetan kejayaan Malaysia Digital Expo (MDX) 2023 yang bertujuan menjadikan negara sebagai destinasi hab digital Asia Tenggara, sejajar dengan matlamat Ekonomi Madani.
"Ekonomi Madani Malaysia menggabungkan strategi untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menggalakkan pelaburan, dan mengukuhkan industri tempatan untuk menjadi lebih inovatif, berdaya saing dan mampu berkembang ke pasaran global.
"Kami terus mengembangkan kapasiti kami dari segi ketersambungan, rangkaian, dan infrastruktur, pada masa yang sama meningkatkan keupayaan kami dari segi pembangunan bakat dan memacu inovasi", katanya.
"Kami berharap untuk memperdalam lagi perkongsian kami dengan anda dan membawa kerjasama berkesan kami ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau berucap demikian dalam Malam Anugerah MDX 2023 di ibu negara.