KUALA LUMPUR, 10 Julai - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerima sebanyak 349 aduan berkaitan kes penipuan pakej umrah dengan melibatkan kerugian hampir RM14 juta.
Timbalan Menteri Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, 19 kertas siasatan telah dibuka dengan lapan kes telah dikompaun melebihi RM240,000.
Katanya, kesemua kes tersebut direkodkan tahun lalu hingga Mei tahun ini.
Kesemua pengadu kes tersebut dinasihatkan agar membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan mangsa dapat menebus kerugiaan yang dialami.
"Selain itu MOTAC juga telah mengantung dan membatal lesen bagi dua agensi pengendali umrah bawah kesalahan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
"MOTACmengambil langkah pencegahan dalam memantau syarikat tidak berlesen dalam talian yang berkemungkinan melakukan penipuan dengan mengemaskini senarai amaran entiti yang melanggar akta di laman sesawang dan media sosial MOTAC ," kata Khairul Firdaus.
Beliau menjawab pertanyaan wakil Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, di Dewan Rakyat.
Tambahnya, pihaknya juga telah berkerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyekat dan menyahaktifkan akaun laman sosial entiti tidak berlesen.
Hingga Mei tahun ini sebanyak 272 entiti tidak berlesen didapati menjual pakej pelancongan secara haram.
Dalam pada itu Khairul Firdaus berkata, kementeriannya turut berhasrat untuk memperkasakan Akta Industri Pelancongan 1992 bagi mengekang kes-kes penipuan melibatkan syarikat pengendali umrah.
Katanya, kriteria baharu bagi syarikat pengendali ibadah umrah akan diperkenalkan Ogos depan bertujuan memantau syarikat berkaitan mengendalikan umrah secara telus.
Ketika ini beberapa siri libat urus telah dilakukan sejak tahun lalu dalam usaha mengelak orang ramai terpedaya.
"Kriteria yang akan diumumkan pada Ogos akan dipastikan supaya syarikat-syarikat pengendali umrah benar-benar melakukan peniagaan secara yang telah dijanjikan mereka dan seperti mana yang mereka mahukan.
"Juga pakej yang disediakan syarikat-syarikat itu mesti dipenuhi seperti yang ditawarkan untuk kita melakukan pengawasan setiap masa dan itu bergantung kepada aduan yang kita terima," katanya.