fb fb fb fb fb

34 stesen radio RTM jadi penyampai maklumat utama seiring peranan televisyen

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman

PONTIAN, 13 Februari-  Kesemua 34 stesen radio RTM tidak pernah ketinggalan dan sentiasa menjadi penyampai maklumat utama seiring dengan peranan televisyen.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, semua stesen radio RTM memiliki bilangan pendengar yang tinggi termasuk siaran radio di negeri-negeri.

Radio RTM juga semakin relevan kerana bukan sahaja didengari di Malaysia tetapi kandungan program juga menarik pendengar antarabangsa.

Ia seiring dengan peredaran masa, malah membuktikan komitmen RTM menambah baik kandungan-kandungan radio.

"Radio RTM banyak memberi kandungan untuk membina sebuah negara bangsa hebat dan disamping itu kita juga menghiburkan, kita 'menjual' sesuatu yang berkualiti,"katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Radio Sedunia 2024 di Taman Negara Johor, Tanjung Piai, Pontian hari ini.

Sambutan Hari Radio Sedunia 2024 yang disambut setiap 13 Februari bertemakan Seabad Menyampai Maklumat, Menghibur dan Mendidik.

Pelbagai program dijalankan antaranya Siaran Langsung Selamat Pagi Malaysia, Explorce dan Persembahan artis tempatan, antaranya Nizam Laksamana dan Shidee Data.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE