
KUALA LUMPUR, 3 Mac- Sebanyak 33 Unit Dialisis Komuniti (UDK) telah ditubuhkan di seluruh negara bagi menyediakan perkhidmatan dialisis khususnya kepada penduduk di kawasan luar bandar.
- 33 Unit Dialisis Komuniti ditubuhkan di seluruh negara untuk menyediakan perkhidmatan dialisis kepada penduduk luar bandar.
- 28 unit sudah beroperasi manakala lima lagi masih dalam pembinaan.
- Inisiatif ini bertujuan memudahkan pesakit dan mengurangkan perjalanan berulang-alik ke pusat dialisis bandar.
- Pesakit yang stabil layak dirawat di UDK selepas dinilai oleh pakar nefrologi KKM.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, daripada jumlah itu, 28 unit telah beroperasi manakala lima lagi masih dalam pembinaan.
Jelasnya, usaha proaktif kerajaan itu bertujuan memudahkan pesakit dan mengurangkan beban mereka yang terpaksa berulang-alik ke pusat dialisis di bandar sebanyak tiga kali seminggu.
“Pesakit yang layak menerima rawatan di UDK adalah mereka yang berada dalam keadaan stabil.
“Pengambilan pesakit perlu dinilai terlebih dahulu oleh pakar nefrologi dari hospital Kementerian Kesihatan (KKM) terdekat,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr Dzulkefly memaklumkan penyakit tidak berjangkit (NCD) kekal sebagai punca utama kematian di Malaysia dengan sekitar 70 peratus atau kira-kira 145,000 kematian direkodkan setiap tahun.