fb fb fb fb fb

33 jenis kenderaan awam, barangan akan terus nikmati diesel bersubsidi

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 9 Jun- Selaras dengan pengumuman Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguatkuasakan harga baharu diesel pada kadar RM3.35 seliter di stesen minyak seluruh Semenanjung bermula pada pukul 12.00 tengah malam ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Armizan Mohd Ali berkata sejumlah 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan akan terus menikmati diesel bersubsidi.

Ia melalui penggunaan 'fleet card' di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

"Syarikat pengangkutan awam dan barangan yang telah memperolehi kelulusan SKDS tetapi belum menerima 'fleet card' daripada syarikat minyak dikehendaki menyimpan resit pembelian diesel bermula 10 Jun 2024.

"Ini bagi membolehkan tuntutan pembayaran balik tunai dibuat kepada MOF mengikut tatacara permohonan yang akan diumumkan kelak.

"KPDN menyeru syarikat pengangkutan yang layak tetapi masih belum memohon kelulusan subsidi diesel untuk segera berbuat demikian melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my dan seterusnya memohon 'fleet card' daripada syarikat minyak pilihan," katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, KPDN ingin menegaskan bahawa semua arahan dan peraturan sedia ada berkaitan dengan penjualan diesel masih berkuat kuasa dan terpakai dengan pengumuman harga baharu diesel tersebut.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM