3,237 guru baharu ditempatkan di Sarawak tahun lalu

Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR, 5 Februari- Kementerian Pendidikan (KPM) memberi perhatian serius terhadap keperluan guru di seluruh negara termasuk di Sarawak bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.

RINGKASAN BERITA AI
  • 3,237 guru baharu ditempatkan di Sarawak pada 2025 mengikut kekosongan dan keperluan opsyen mata pelajaran.
  • Pengisian jawatan guru di Sarawak mencapai 97.82 peratus sehingga 31 Disember 2025.
  • Penempatan tetap graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan diurus oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.
  • Proses pengambilan melibatkan tapisan ketat, padanan kluster mata pelajaran, temu duga dan pemeriksaan kesihatan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata pada tahun 2025 sahaja, seramai 3,237 orang guru baharu telah ditempatkan di Sarawak berdasarkan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran.

“Sehingga 31 Disember 2025, jumlah guru yang berkhidmat di Sarawak adalah seramai 42,315 orang daripada keseluruhan 43,257 perjawatan, dengan kadar pengisian sebanyak 97.82 peratus,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau anak Gingkoi yang meminta penjelasan mengenai kekosongan jawatan guru dan graduan pendidikan yang masih belum ditempatkan secara tetap.

Mengulas isu lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang belum memperoleh penempatan tetap sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41, Wong menjelaskan urusan pengambilan guru berada di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Menurut beliau, semua calon perlu melalui proses tapisan dan saringan yang ketat termasuk memenuhi syarat skim perkhidmatan, padanan kluster mata pelajaran, lulus temu duga dan diperaku sihat sebelum dilantik.

Tambahnya, KPM akan terus komited menambah baik proses pengambilan guru dengan memperkukuh kerjasama strategik bersama SPP bagi menangani isu pengisian guru di seluruh negara.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan