KUALA LUMPUR, 10 Julai- Sebanyak 322 aduan bersabit penyalahgunaan dan pelanggaran data peribadi diterima melalui Pesuruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP).
Data tersebut direkodkan bermula Oktober tahun lalu sehingga Mac tahun ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata beberapa pindaan dicadangkan dalam memperkukuhkan lagi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 bagi menangani isu tersebut.
Antaranya, dengan melantik pegawai perlindungan data bagi mengawal selia sebarang insiden pelanggaran dan penyalahgunaan data.
"Pindaan ini akan mewujudkan tanggungjawab yang sangat perlu untuk setiap pegawai data supaya membuat laporan bila berlaku sebarang insiden pelanggaran data peribadi..dan juga tempoh masa untuk membuat laporan tersebut ditetapkan dan dibuat dalam tempoh secepat yang boleh dilaksanakan.
"Sekiranya pelanggaran data itu mengakibatkan kemudaratan yang ketara pada subjek data, maka pegawai tersebut perlu bertindak dengan segera untuk membuat laporan," katanya dalam satu sidang media di Parlimen di sini.
Tambahnya, pindaan itu juga bagi memastikan tiada data yang digunakan tanpa persetujuan pemilik data.