fb fb fb fb fb

321 individu terima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 23 Januari- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat pada hari ini menyaksikan seramai 321 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan ahli perniagaan, Ong Hooi Lim mendahului senarai penerima pingat dengan dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) Kehormat yang membawa gelaran Datuk kepada Dekan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadunan (ISTAC) UIAM, Profesor Dr. Abdelaziz Berghout.

Tiga individu turut dikurniakan dengan Darjah Panglima Setia Diraja (P.S.D) yang juga membawa gelaran 'Datuk' kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin; Juruiring Yang di-Pertuan Agong, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya dan Ketua Pengarah Kraftangan, ‘Ainu Sham Ramli.

Istiadat kali ini menyaksikan tujuh individu menerima darjah Johan Mangku Negara (JMN), sementara tujuh individu lagi penerima darjah Johan Setia Mahkota (JSM). 



Yang di-Pertuan Agong turut berkenan mengurniakan 117 penerima Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) dan seorang individu dikurniakan Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD).

Manakala, Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) dikurniakan kepada 85 individu dan 98 individu dikurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN).

Hadir sama pada istiadat tersebut ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI