fb fb fb fb fb

32,300 asnaf di WP terima bantuan khas RM500 sempena Aidiladha

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 30 Mei- Seramai 32,300 orang asnaf penerima bantuan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) daripada pelbagai kategori akan menerima Bantuan Insentif Khas bernilai RM500 sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba.

Bantuan tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun penerima selewat-lewatnya pada 14 Jun nanti.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam satu kenyataan, MAIWP telah memperuntukkan sebanyak RM16.15 juta daripada wang kutipan zakat untuk diagihkan bagi membantu para asnaf membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga tersayang.

Tambahnya, MAIWP juga telah bersetuju untuk menyalurkan bantuan itu kepada asnaf MAIWP di Putrajaya dan Labuan.

Beliau turut mendoakan para pembayar zakat akan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wataala (SWT) serta menyatakan kesediaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui MAIWP sentiasa berusaha dari masa ke semasa menyantuni keperluan serta kebajikan asnaf di Wilayah Persekutuan dengan sebaik-baiknya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM