fb fb fb fb fb

31 warga Myanmar ditahan, cuba seludup masuk negara

ATM tahan 31 PATI warga Myanmar, cuba seludup masuk negara

BUKIT KAYU HITAM, 13 Januari- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tiga kanak-kanak warga Myanmar yang cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, kesemua PATI ditahan dikesan bersembunyi di ladang kelapa sawit berhampiran sempadan negara ketika pasukan keselamatan melaksanakan rondaan kira-kira pukul 6.00 pagi.

Kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada masing-masing 14 lelaki dan wanita serta tiga kanak-kanak berusia dua hingga 42 tahun.

Hasil siasatan mendapati mereka dipercayai memasuki negara melalui jalan yang tidak sah.

Turut dirampas sejumlah wang tunai, 23 buah telefon bimbit serta barang kemas dengan anggaran keseluruhan berjumlah RM 27,885.76.

Kesemua tangkapan diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

TDM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.

Pasukan operasi akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan khususnya melibatkan PATI.

ROSLINA BINTI DIN