fb fb fb fb fb

300 sukarelawan Southern Volunteers Segamat bantu penduduk terjejas banjir

SEGAMAT, 29 Januari- Seramai 300 sukarelawan Southern Volunteers (SV) Segamat bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi membantu penduduk terjejas banjir di daerah itu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Segamat (MPS), Ungku Mohd Tahir Ungku Mohd Zakaria berkata memasuki fasa pasca banjir, ramai penduduk setempat yang memerlukan bantuan membersihkan rumah dan memindahkan barang.

Aktiviti pasca banjir tertumpu di kawasan mukim pogoh dan buloh kasap selain kawasan yang air banjir telah surut sepenuhnya.

"Kita telah membuat semakan semula dengan pihak pejabat daerah melalui penghulu mukim untuk kita tawarkan kerja-kerja sukarelawan membasuh rumah sebab kita MPS mempunyai kekuatan dari segi logistik sama ada lori pembersihan untuk kita bantu bersihkan rumah penduduk yang terjejas banjir," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Sounthern Volunterers Segamat berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk terjejas banjir di kawasan Pogoh, di sini.

(Ungku Mohd Tahir Ungku Mohd Zakaria)

Selain membersihkan rumah, sukarelawan SV Segamat turut berperanan menyalurkan bantuan yang diterima pihak MPS secara terus kepada penduduk terjejas yang terlibat.

Sementara itu, penduduk, Mad Norhasni Misnan mengucapkan terima kasih atas bantuan pihak SV Segamat yang memindahkan barang miliknya semula ke rumah selepas air surut.

Beliau sebelum ini mengambil inisiatif sendiri memindahkan barangan miliknya ke kawasan lebih tinggi dua hari sebelum banjir bagi mengelakkan ia ditenggelami air.

"Alhamdulillah tahun ini kita bersyukurlah air naik tapi tidak teruk, barang pun dapat diselamatkan semua.

"Saya pindahkan barang awal sebab pernah mengalami banjir sebelum ini," katanya.

Media Baharu