300 orang mengimarahkan Ramadan dengan tadarus dan khatam al-Quran di Arau

Foto RTM

ARAU, 15 Mac – 300 peserta terdiri daripada belia dan wanita sekitar Parlimen Arau menyertai program Tadarus dan Khatam al-Quran sempena bulan Ramadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menghidupkan amalan bertadarus dan mempererat hubungan silaturahim sepanjang Ramadan.
  • Program tahunan diharap melahirkan masyarakat celik al-Quran dan menghayati isi kitab suci.
  • Inisiatif selari tradisi memperbanyakkan bacaan dan tadabbur al-Quran supaya ia menjadi teman hidup.
  • Majlis penutup menyertakan tazkirah khas Ramadan dan penyampaian cenderamata kepada peserta.

Program itu bukan bukan sahaja menghidupkan amalan bertadarus yang sangat digalakkan dalam bulan mulia itu, malah turut berperanan mengeratkan hubungan silaturahim.

Menurut Penyelaras Program, Rozieana Ahmad, aktiviti yang dilaksanakan saban tahun setiap kali Ramadan diharap dapat melahirkan masyarakat yang celik al-Quran dan berupaya menghayati isi kandungan kitab suci berkenaan dalam kehidupan seharian.

Selain itu, inisiatif yang dilaksanakan ini juga selari dengan tradisi umat Islam yang memperbanyakkan amalan membaca dan menghayati al-Quran sepanjang Ramadan.

“Menerusi Tadarus dan Khatam al-Quran, diharapkan Ramadan kali ini menjadi lebih bermakna dengan pengisian masa  terluang yang lebih berkualiti dengan selalu berinteraksi dan bertadabbur al-Quran supaya ia menjadi teman kita di waktu hidup dan semoga ia juga dapat memberi syafaat di hari akhirat kelak.”

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Penutup Tadarus dan Khatam al-Quran Perdana peringkat Parlimen Arau yang berlangsung di Dewan Pejabat UMNO Bahagian Arau.

Bersempena program berkenaan, turut diadakan Tazkirah Khas Ramadan serta penyampaian cenderamata kepada setiap peserta terlibat.