
ALOR SETAR, 20 Mac – Seramai 30 kanak-kanak asnaf kini mampu tersenyum ceria selepas menerima pakaian baharu menerusi program Kasih Ramadan dan Santunan Aidilfitri.
- Kanak-kanak asnaf berumur 7 hingga 17 tahun dibawa memilih baju raya sendiri di sebuah pasar raya di Alor Mengkudu.
- Setiap peserta menerima peruntukan RM100 untuk pakaian dan sumbangan duit raya sebanyak RM100.
- Program dianjurkan Lions Club Alor Setar dan Harmony Home dengan kerjasama JKM Kedah, turut mengagihkan kuih-muih dan minuman di hadapan Masjid Zahir.
Program anjuran Lions Club of Alor Setar (Host) dan Harmony Home Development Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah itu memberi peluang kepada kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 17 tahun memilih sendiri baju raya di sebuah pasar raya di Alor Mengkudu.
Setiap peserta menerima peruntukan RM100 untuk pembelian pakaian serta sumbangan duit raya sebanyak RM100.
Kabinet Daerah Perkhidmatan Kesihatan, Kelab Lions Antarabangsa Daerah 308-B-2, Datuk Dr Cheng Joo An berkata, program itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam membantu golongan kurang bernasib baik.
“Kami gembira dapat membawa kanak-kanak ini membeli baju raya setiap tahun dan melihat sendiri kegembiraan mereka memilih pakaian yang disukai,” katanya ketika ditemui pada program tersebut pada Khamis.
Selain itu, penganjur turut mengagihkan kuih-muih dan minuman kepada golongan asnaf di hadapan Masjid Zahir sebagai usaha menyemarakkan Ramadan dan Aidilfitri.