fb fb fb fb fb

30,000 rakyat Johor dijangka meriahkan sambutan keberangkatan Sultan Johor, Rabu ini

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M. Kumar S. Muthuvelu

JOHOR BAHRU, 28 Januari - 30,000 rakyat Johor dijangka memenuhi laluan dari Istana Bukit Serene, di sini ke Lapangan Terbang Antarabanga Senai bersempena sambutan keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Istana Negara, Kuala Lumpur, Rabu ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M. Kumar S. Muthuvelu berkata seramai 1,200 pegawai dan anggota termasuk agensi lain akan membantu penugasan bagi memastikan aliran trafik lancar.

Beliau berkata, laluan sepanjang 35.5 kilometer itu akan ditutup selama satu jam bermula pada pukul 7.45 pagi.

“Pergerakan akan bermula 8 pagi dari Istana Bukit Serene, Johor Bahru ke Royal Hangar, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

“Ada 15 lokasi “check point” untuk membolehkan rakyat Johor mengibar bendera dan melambai tangan kepada konvoi pergerakan Sultan Ibrahim,” katanya pada sidang media di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini.

Tambah M.Kumar, rakyat Johor digalakkan untuk keluar lebih awal dan menggunakan laluan alternatif untuk ke tempat kerja atau ke lapangan terbang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN