fb fb fb fb fb

3,000 jawatan kosong menanti pengunjung Program Dua Tahun Kerajaan Madani

FOTO FB KPDN

KUALA LUMPUR, 18 November- Kira-kira 3,000 kekosongan kerja pelbagai jawatan ditawarkan dalam program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 22 hingga 24 November ini.

Ketua Komunikasi Korporat Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri Sapian Mamat berkata selain perjawatan oleh 40 majikan di karnival kerjaya itu, terdapat lebih 150 perkhidmatan terpilih menanti pengunjung, yang merupakan kesinambungan Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan MADANI Rakyat.

“Pada program itu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyediakan kaunter bayaran saman dan pertukaran topi keledar, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, tawaran pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 60 peratus serta 80 usahawan Jualan MADANI yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 pagi hingga 6 petang.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut menyediakan khidmat nasihat urusan pencen dan persaraan, program penajaan dan penerangan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) selain perkhidmatan cetakan semula sijil secara percuma dan banyak lagi,” katanya ketika menjadi tetamu pada Program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio.

Sepanjang tiga hari penganjuran itu, setiap negeri akan melakukan satelite event yang menyaksikan terdapat beberapa aktiviti berlangsung serentak di seluruh Malaysia.

“Aktiviti Senamrobik Sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI akan diadakan di Kompleks Belia dan Sukan seluruh negara dan kompleks itu akan dibuka secara percuma selama tiga hari. Orang ramai dipelawa memanfaatkan fasiliti yang ada.

“Putrajaya Cruise dan Pulse Grande Hotel turut menawarkan diskaun selain kemasukan percuma ke Pusat Sains Negara dan Planetarium Negara sepanjang tiga hari itu,” katanya.

Sapian turut menasihati pengunjung untuk menaiki pengangkutan awam seperti bas perantara dan tren untuk ke lokasi tersebut bagi mengelakkan kesesakan trafik di ibu kota selain menjaga keselamatan diri dan keluarga terutamanya kanak-kanak kerana jumlah pengunjung dijangka tinggi.

Pada 9 November, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menyasarkan lebih 230,000 pengunjung hadir ke program tersebut melihatkan kepada lokasi penganjurannya yang strategik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyempurnakan program itu pada 11 pagi, 23 November.-BERNAMA

Trainee