27 lokasi di sepanjang Sungai Golok dipasang kawat duri

Pemasangan kawat duri di sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan

RANTAU PANJANG, 12 Februari – Sebanyak 27 lokasi pangkalan haram yang dirobohkan di sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan akan dipasang kawat duri bermula hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemasangan kawat duri di 27 pangkalan haram sepanjang 1.5 km bermula dari Rantau Panjang ke Pangkalan Ibrahim Pencen.
  • Kos RM100,000 ditanggung oleh ICU JPM untuk 26 lokasi; satu lokasi dibiayai JPS.
  • Polis mula merampas perahu Thailand yang menceroboh, dengan bukti melalui rakaman video dan dron.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pemasangan kawat duri atau concertina wire itu membabitkan jarak sepanjang 1.5 kilometer.

Kos pemasangan kawat duri di 26 lokasi berjumlah RM100,000 bawah peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) manakala satu lokasi lagi ditanggung Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Permulaan pemasangan concertina wire adalah dari Rantau Panjang sehingga Pangkalan Ibrahim Pencen, sepanjang 1.5 kilometer. Namun, bagi fasa pertama ini, kita hanya pasang di pengkalan-pengkalan yang telah kita robohkan.

“Dengan peruntukan sebanyak RM100,000 daripada ICU, kita berjaya memasang di 26 pengkalan haram yang telah dirobohkan. Satu lagi pengkalan ditanggung kosnya oleh JPS, jadi jumlah keseluruhan ialah 27 pengkalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat lokasi pemasangan kawat duri di pangkalan haram Parking, di sini hari ini.

Pihaknya juga sudah membuat permohonan peruntukan tambahan kepada pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk memasang kawat duri di lokasi lain selepas ini.

Untuk fasa pertama, kawat duri tersebut dipasang bermula di pangkalan haram parkir sehingga ke jeti Ibrahim Pencen sebelum diteruskan ke lokasi lain.

Kerja-kerja pemasangan bermula hari ini dan dijangka siap sebelum Ramadan bagi mengelakkan sebarang pecerobohan sempadan dalam masa terdekat.

Hadir sama, Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Datuk Mohd A. Aruwan Ab Aziz.

Dalam perkembangan lain, Datuk Mohd Yusoff berkata, Polis Kelantan mula merampas perahu dari Thailand yang memasuki sempadan negara secara haram.

Jika sebelum ini tangkapan hanya dibuat melibatkan individu serta rampasan barangan penyeludupan tetapi kali ini perahu turut dirampas.

Amaran sudah diberikan sejak pangkalan haram sepanjang Sungai Golok ditutup lebih setahun dan kali ini tindakan tegas terpaksa dilakukan.

Rampasan pertama dibuat pada minggu lalu melibatkan sebuah perahu di Tumpat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Rampasan terhadap perahu dari Thailand akan dibuat sekiranya terdapat bukti melalui rakaman video dan dron.