fb fb fb fb fb

267 stesen pemancar komunikasi pulih selepas terjejas banjir

Salah satu stesen pemancar komunikasi yang terletak di Raub, Pahang/RTM

RAUB, 6 Disember- Sebanyak 267 stesen pemancar komunikasi yang terjejas akibat banjir di seluruh negara telah pulih sepenuhnya dan kembali beroperasi, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Bagaimanapun, baki 56 stesen pemancar masih belum dapat beroperasi ekoran akses jalan yang dinaiki air, bekalan elektrik terputus dan cabaran lain.

"Sebanyak 323 stesen pemancar terjejas akibat banjir. Daripada jumlah itu, 267 telah kembali beroperasi sepenuhnya, termasuk sembilan menara di Pahang - tiga di Temerloh dan enam di Raub - yang kini telah pulih. Setakat pagi tadi, baki 56 stesen masih terkesan," katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerja ke daerah sini hari ini.

Sementara itu, sebanyak 446 tapak pemancar komunikasi di lokasi berisiko tinggi dinaiki air telah diperkasakan melalui proses 'hardening' sehingga Oktober lalu.

Nie Ching berkata proses 'hardening' melibatkan penempatan kelengkapan komunikasi atas platform bertiang tinggi bagi mengelakkan kerosakan akibat banjir.

Stesen pemancar juga dilengkapi bekalan bateri yang mampu bertahan antara empat hingga lapan jam sekiranya bekalan elektrik terputus.

Nie Ching berkata pelaksanaannya diselaraskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan dilaksanakan oleh syarikat penyedia telekomunikasi.

"Kami ingin memastikan usaha MCMC dalam melaksanakan 'site hardening' bagi memastikan perkhidmatan komunikasi tidak terjejas semasa banjir. Sejak tahun lalu, kami telah mengenal pasti kawasan 'hotspot' banjir.

"Dengan maklumat tersebut, kami meminta penyedia perkhidmatan untuk menaikkan peralatan mereka atau melaksanakan langkah-langkah 'hardening' yang bersesuaian," ujar beliau.

Tambahnya, negeri paling banyak menerima penambahbaikan melalui proses 'hardening' adalah Kelantan dengan 160 tapak pemancar, diikuti Pahang dengan 110 tapak pemancar.

Lawatan beliau hari ini turut melibatkan tinjauan ke Kampung Pintu Padang untuk menilai tahap kesalinghubungan dan perkhidmatan internet di kawasan itu, selain menyampaikan sumbangan berupa bantuan makanan asas kepada 47 keluarga yang terkesan akibat banjir.

Beliau juga sempat melawat menara pemancar di Kampung Tanjung Putus di sini yang telah ditambah baik dengan platform setinggi tiga meter bagi mengurangkan risiko kerosakan akibat banjir.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, merangkap ADUN Dong, Fadzli Mohamad Kamal

Dalam pada itu, Nie Ching memaklumkan pihak MCMC telah mengambil inisiatif menyediakan WiFi percuma di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan 18 tapak di Kelantan dan lima lagi di Terengganu bagi kemudahan penduduk terjejas.

SITI AISHAH MD ISA