fb fb fb fb fb

26,664 calon menduduki SPM di Kelantan

Katanya, sekiranya berlaku banjir, dianggarkan lebih 600 calon akan dipindahkan ke pusat peperiksaan alternatif terdekat.

KOTA BHARU, 30 Januari- Sebanyak tujuh pusat peperiksaan alternatif disediakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sekiranya berlaku banjir di negeri itu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata tujuh pusat peperiksaan yang berisiko banjir membabitkan enam daerah di Pasir Mas dan satu di Tumpat.

"Antara sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang dan Maahad Muhammadi Rantau Panjang, Sekolah Menengah Ugama (SMU) (A) Diniah, SMU (A) AI-Falah Siram, SMK Meranti, SMU (A) Tarbiah Diniah Meranti dan SMU (A) Nurul Huda Kajang Sebidang di Tumpat," katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas tinjuan hari pertama SPM 2023 di SMK Dato' Ahmad Maher di sini.

Katanya, sekiranya berlaku banjir, dianggarkan lebih 600 calon akan dipindahkan ke pusat peperiksaan alternatif terdekat.

Ujarnya, jika ada calon yang terkandas dengan banjir mereka boleh menduduki peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan berhampiran.

Namun, perkara itu perlu dimaklumkan kepada guru terlebih dahulu agar bekalan kertas peperiksaan mencukupi.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 26,664 calon menduduki SPM 2023 di 294 pusat peperiksaan di Kelantan.

Manakala calon STPM Ulangan 1 seramai 3,867 calon dan STPM Semester 1 seramai 4,655 melibat 60 pusat peperiksaan.

Seramai 2,391 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM