PUTRAJAYA, 13 Mei - Kerajaan meluluskan RM5 juta bagi membiayai perbelanjaan perkhidmatan kesihatan jemaah haji Malaysia pada tahun ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata selain itu, 255 petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk 128 petugas berpengalaman akan dihantar untuk membantu pengoperasian ibadah haji.
"Peruntukan merangkumi perolehan ubat-ubatan dan alat perubatan serta tambang penerbangan dan elaun petugas perubatan.
"Petugas KKM berperanan mengendalikan kes-kes berkaitan perubatan yang dihadapi Jemaah Haji, mereka turut mengoperasikan fasiliti kesihatan sepanjang berada di Tanah Suci," katanya menerusi kenyataan.
Tambah Khairy, susulan risiko penularan COVID-19, ubat antiviral Paxlovid turut dibekalkan sebagai persediaan awal merawat Jemaah Haji yang dijangkiti semasa berada di tanah suci.
Dalam pada itu, Khairy menyarankan semua bakal Jemaah haji, terutamanya individu yang berumur 60 tahun dan ke atas dan golongan dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk, untuk mengambil dos penggalak.